Thursday, June 6, 2013

Projek Pembesaran Masjidil Haram Mekah




PEMBANGUNAN pesat kini melanda Makkah bertujuan memberi ruang lebih selesa kepada umat Islam yang datang dari seluruh dunia sama ada untuk mengerjakan haji mahupun umrah.

Projek memperluas ruang sembahyang di Masjidil Haram dan juga Masjid Nabawi di Madinah hingga kini menelan belanja lebih RM63 bilion. Bukan itu saja, enam pembinaan projek hartanah juga kini dilaksanakan di sekitar Masjidil Haram yang dianggar bernilai lebih RM46 bilion.


Penganalisis berkata, apabila projek itu disempurnakan 10 tahun lagi, ia akan merubah wajah Makkah dan menyediakan lebih banyak kediaman, pengangkutan dan pusat kemudahan untuk jemaah dan penduduk.

Kawasan ibadat Masjidil Haram juga dijangka mencecah lebih 300,000 meter persegi dan mampu menampung sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu masa.

Projek memperluaskan kawasan ibadat Masjidil Haram diarah oleh Raja Abdullah.

Demi melaksanakan projek itu, 1,000 hartanah di kawasan Al-Shamiya dimusnahkan dan kira-kira RM5.5 bilion diperuntukkan sebagai pampasan kepada pemilik hartanah yang diambil alih untuk digunakan sebagai kawasan ibadat baru Masjidil Haram.

Proses menebus tanah itu bagaimanapun tidak lari daripada kontroversi apabila pemilik hartanah Al-Shamiya menolak pampasan RM13,000 hingga RM17,500 semeter persegi yang dianggap terlalu rendah.




Mereka yang tidak bersetuju bagaimanapun dibenar Jawatankuasa Penilaian untuk membuat aduan kepada Majlis Pengaduan.

Pemilik mendakwa nilai itu terlalu rendah untuk hartanah yang terletak hanya 250 meter dari Masjidil Haram dan ia lebih rendah berbanding RM43,500 semeter persegi untuk hartanah 10 kilometer dari kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hartanah Majlis Perniagaan Makkah, Sharif Mansour Abou Riyash, bagaimanapun berkata, nilai itu rendah kerana hartanah terbabit terletak di kawasan rendah dan dihuni pendatang haram.


“Kami mengambil kira 13 faktor dan membahagikan bangunan kepada enam kategori. Kami memberi nilai terbaik,” katanya.

Nilai pampasan tertinggi diberi adalah RM392,000 semeter persegi. Projek al-Shamiya direka untuk menyediakan kawasan sembahyang lebih luas di bahagian utara masjid, selain menyediakan pusat kemudahan pengangkutan untuk jemaah.

Hotel dan apartmen yang lengkap dengan perabot juga akan dibina di kawasan ini selain kemudahan awam yang lebih canggih.

Projek Jabal Khandama pula terletak di timur masjid yang akan membabitkan pembinaan beberapa menara hotel. Kira-kira 15 peratus daripada 150,000 meter persegi projek ini diperuntukkan untuk penduduk Makkah.

Projek Jabal Omar pula terletak di barat daya Masjidil Haram. Bukit-bukau di kawasan ini sudah mula diratakan dan ia akan digunakan untuk pembinaan kawasan kediaman baru.

Hotel, bangunan kediaman, kompleks beli-belah dan kemudahan awam turut akan dibina di kawasan seluas 230,000 meter persegi itu.

Jumlah kediaman yang dibina di Jabal Omar mampu menampung 100,000 penduduk dengan kawasan ibadat berhawa dingin yang dirancang mampu menampung 100,000 jemaah manakala tanpa hawa dingin 120,000 jemaah.

Kawasan di tenggara Masjidil Haram membabitkan sekitar Hospital Ajyad dengan rancangan membina hospital berteknologi tinggi dan pusat perubatan tambahan kepada kemudahan kecemasan dan rawatan sedia ada.

Lebuh raya Raja Abdul Aziz yang terletak di timur Masjidil Haram pula akan menjadi pusat kemudahan pengangkutan jemaah dan penduduk ke kawasan masjid.

Projek direka dengan mengambil kira keperluan pengangkutan pada masa akan datang. Laluan sepanjang empat kilometer dan lebar 80 meter itu akan disambung terus dengan Lebuh raya Jeddah.



Projek di selatan Masjidil Haram pula akan meningkatkan ruang ibadat daripada 1,170 kepada 30,000 meter persegi dan menyediakan ruang yang mampu menampung 1,000 kereta pada satu masa.

Menara Abraj Al Bait yang mengandungi tujuh menara terletak di kawasan selatan Masjidil Haram. Dengan ketinggian 595 meter dan lantai seluas 15.6 juta kaki persegi, ia bakal menjadi bangunan terbesar dunia apabila siap tahun depan.

Sebelum pembinaan dimulakan, kubu Ajyad era Othmaniah dirobohkan dan menara paling tinggi turut diurus hotel lima bintang untuk menyediakan kamar selesa untuk jemaah haji.

Abraj Al Bait juga memiliki pusat beli-belah empat tingkat dan kawasan tempat letak kereta yang boleh memuatkan 800 kenderaan.

Selain bangunan kediaman yang mampu menampung 65,000 penduduk, ia memiliki pusat persidangan dan empat muka jam di menara tertinggi. Jam akan dipasang setinggi 380 meter dan menjadikan ia jam tertinggi di dunia.

Projek di pintu utara pula membabitkan pembinaan sebuah menara.

Penganalisis hartanah, Hani Al-Amri, berkata pemilik hotel, vila dan hartanah di Shamiya, Marwah, Raquba dan Jabal Al-Kaaba pasti menuntut harga pampasan tinggi kerana mereka hampir dengan Masjidil Haram.

“Ia akan menyebabkan harga hartanah melambung di kawasan itu,” katanya.

Purata sewa rumah di bahagian utara dan timur Makkah adalah antara RM17,000 hingga RM22,000 setahun manakala di tenggara, RM31,000 setahun.

Pengarah Jabatan Pampasan Kementerian Pengangkutan, Mohammed Shaker Al-Dahlawi, berkata pemilik tanah yang membina bangunan bertingkat akan memperoleh pampasan lumayan.

“Bagaimanapun, selepas ini jemaah berpendapatan rendah pasti sukar memperoleh penempatan berhampiran Masjidil Haram selepas bangunan di Shamiya dan Shubaika diroboh,” katanya.

Jangkaan itu sudah berlaku apabila kadar sewa bilik hotel berhampiran Masjidil Haram meningkat 60 peratus pada Ramadan tahun ini jika dibanding tahun lalu.

Kadar sewa bilik mencecah RM3,560 semalam pada hari biasa dan antara RM7,480 hingga RM11,860 pada hujung minggu. Bagaimanapun, semua apartmen mahupun hotel berhampiran Masjidil Haram habis ditempah sejak dua bulan lalu.

Kadar sewa bilik pada 10 hari terakhir Ramadan pula mencecah sekurang-kurangnya RM39,250 hingga RM52,500 satu malam.

Menurut ejen hartanah, peningkatan harga itu berpunca daripada pembangunan di sekitar Masjidil Haram dan kurangnya bangunan yang boleh digunakan sebagai kediaman.



Pada masa sama, Arab Saudi menyediakan bajet RM4.6 bilion untuk membina lima landasan kereta api monorel yang menyambungkan Makkah, Mina, Padang Arafah dan Muzdalifah bagi memudahkan perjalanan lebih tiga juta jemaah haji antara pusat ibadat terbabit.

Timbalan Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Bandar, Dr Habeeb Zain Al-Abidine, berkata projek itu akan bermula sebelum musim haji tahun ini dan dijangka siap pada 2010.

“Landasan akan dibina antara lapan hingga 10 meter tinggi bagi mengelak ia mengganggu perjalanan kenderaan dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

“Kewujudan monorel akan menyebabkan 25,000 daripada 70,000 bas diguna oleh jemaah tidak lagi perlu digunakan. Sistem ini mampu mengangkut 500,000 jemaah dalam tempoh enam hingga lapan jam,” katanya.












No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Kursus Pengurusan Jenazah