Sunday, November 29, 2009

Selamat menghadapi peperiksaan SPM



Peperiksaan spm telah bermula pada 18/11/09 . Nampaknya semua pelajar sudah bersedia untuk menghadapinya. Didoakan semoga dapat menjawab setiap subjek dengan baik dan cemerlang . Hadapilah dengan tabah dan tenang . Tingkatkan usaha ... dan setiap usaha itu hendaklah diiringi dengan doa dan tawakal kepada Allah .
Hari ini 24 / 11 / 09 peperiksaan kertas Pendidikan Islam (kertas 1 dan 2 ) .Semoga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang pada 2010 nanti. Insyaallah ...Amin.

Wednesday, November 18, 2009

Majlis Redha Ilmu -Pelajar spm 09

pengerusi : ustaz Mohd Zain


bacaan Yaasin
bersalaman dengan guru

Peperiksaan Spm 09 akan muncul tidak lama lagi. Ianya menandakan tidak lama lagi berakhir sesi persekolahan tahun 2009 . sehubungan dengan itu , Panitia pendidikan Islam menganjurkan majlis ini pada 13 /10/09 .
Tujuan majlis ini diadakan untuk memberi kesedaran pelajar betapa pentingnya memohon redha guru diatas setiap ilmu yang dicurahkan disamping meminta kemaafan diatas keterlanjuran perkataan dan perbuatan yang menyinggung guru-guru.
Majlis ini dimulai dengan bacaan Yaasin oleh semua pelajar tingkatan 5 bersama guru-guru smt Arau, memohon hidayah daripada Allah S.W.T agar dimudahkan segala urusan . Penuh syahdu dan khusyuk bacaan Yaasin yang dipimpin oleh ustaz Mohd Zain. Pengetua En Ahmad bin Che Abdullah memberi amanat dan ucapan kepada pelajar supaya menghormati guru walau berada dimana dan memohon maaf kepada setiap guru . Akhir sekali pelajar berbaris bersalaman dengan guru-guru .

p/s renungan bersama :

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

.1 IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya

Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL - Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian.

3. MENJAUHI MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain .Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.

5. BANYAKKAN ZIKRULLAH – Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas

6. MENJAGA KEHORMATAN-
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.

7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA-
Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil

8. MENGHORMATI GURU-
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada. Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI -
Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.

dipetik daripada :http// halaqah net




Sunday, November 8, 2009

- Kelebihan Bulan zulhijjah

wukuf di Arafah

Jabal Rahmah di Padang Arafah


Buletin An-Nur - bil 9(09) -Kelebihan Bulan Zulhijjah
10 Hari pertama

sebagaimana bulan yang lain di dalam Islam, bulan Zulhijjah juga mempunyai kelebihannya tersendiri yerutama 10 hari pertama . Ini dapat dibuktikan dari hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud .

" Tiada satu hari pun , amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah . Oleh itu perbanyakkanlah pada hari tersebut tahlil( La ilaha illa Allah ) , takbir ( Allahu akbar ) , dan tahmid ( Alhamdulillah ) . "

Ibn Hibban pula meriwayatkan pula meriwayatkan bahawa Rasulullah S.a.w. bersabda yang bermaksud : " Seutama-utama hari ialah hari Arafah ,".

Antara Amalan yang digalakkan :
  • Menunaikan ibadah haji dan umrah - merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadah ini . Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" satu umrah ke satu umrah , menghapuskan dosa yang dilakukan diantara keduanya dan haji yang baik tiada baginya balasan melainkan syurga . "

2 . Berpuasa pada hari-hari tersebut terutama pada hari Arafah . Sabda Rasulullah bermaksud :" puasa pada hari arafah , Aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dan dosa setahun yang lalu dan setahun yang mendatang .

3. Takbir (Allahu Akbar ) , berzikir dan berdoa . Firman Allah (bermaksud) :""Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari termaklum .""

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa , semoga amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat allah . ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya . di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA baginda (bermaksud) : " sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahnya ."

5. Memperbanyakkan amalan soleh (kebaikan ) terutama amalan-amalan tambahan seperti solat sunat , bersedekah , berjihad , membaca al-Quran dan sebagainya kerana setiap amalan digandakan pada hari-hari tersebut . Setiap amalan walapun kecil tetapi amat disukai oleh Allah SWT.

disunting oleh : ustazah Azizah bt Mat Isa

Tuesday, November 3, 2009

Buletin An-Nur - Info Masjid Nabawi




Makam Rasulullah

Raudhah

pintu makam Rasulullah

Bil 7 (Zulkaedah 1430 H)
Masjid Nabawi merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w setelah penghijrahan baginda berserta para sahabat dan pengikut setia ke Madinah. Masjid tersebut dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah bersamaan September 622 Masihi. Pada masa Nabi s.a.w dan Khulafa ar-Rasyidin, masjid itu berfungsi sebagai tempat beribadah (solat), menuntut ilmu dan musyawarah bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan. Kini masjid tersebut berdiri megah, dengan lebih daripada 230 tiang setinggi 5 meter dan memiliki 10 buah menara, enam di antaranya setinggi 99 meter. Dengan berkembangnya Islam di dunia, Masjid Nabawi mengharumkan kota Madinah al-Munawwarah (kota penerang dunia dengan ajaran Islam). Hingga kini, jemaah haji sering berziarah ke makam Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di dalam kompleks masjid tersebut.

Selain itu, terdapat makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Pada bahagian lain, terdapat taman (raudah), di antara bekas rumah Nabi s.a.w dengan mimbar yang ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih. Di tempat inilah jemaah haji dan umrah melakukan solat, wajib atau sunat, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Di antara bilikku dengan mimbarku terletak sebuah taman di antara taman-taman syurga.” (Anas bin Malik)

Masjid Nabawi memiliki keutamaan dan keistimewaan tersendiri berbanding masjid-masjid lain. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku lebih utama daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)

Pada awalnya, Masjid Nabawi hanya berukuran 70 x 60 hasta (1 hasta bersamaan lebih kurang 61 cm). Lalu Nabi s.a.w memperluaskan masjid itu ke sebelah timur, barat dan utara sehingga menjadi 2,475 meter persegi. Saidina Umar al-Khattab (581-644 M) memperluaskan lagi masjid tersebut menjadi 140 x 120 hasta dan menambah tiga pintu; dua pintu di sebelah utara dan sebuah pintu untuk jemaah wanita di sebelah timur. Saidina Uthman ibni Affan (576-656 M) menggantikan tiang pohon kurma dengan batu, menggantikan atap dan memperluaskan bahagian lantai.Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), khalifah Bani Umaiyah.

Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah, berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m. 1277 M - penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara. Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M). Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi. Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter persegi.

Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar), tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara), tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah ke Madinah.

Kronologi Masjid Nabawi

622 (Masihi) - Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 - Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 - Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 - Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas bahagian lantai.
707 - Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 - Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 - Terbakar.
1256 - Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 - Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 - Terbakar lagi.
1574 - Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 - Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 - Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 - Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 - Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).
Categories: Ensiklopedia
** Banyakkan salawat keatas Nabi Muhammad tanda kasih dan sayang kepada Junjungan besar Nabi Muhamad S.a.w. mudah-mudahan kita tergolong umat yang mendapat syafaatnya....amin.

Sunday, November 1, 2009

Buletin An-Nur - Rejab ..hayati fadhilatnya




(bil 5 : 09) REJAB...HAYATI FADHILATNYA

Rejab 1430 H baru sahaja melewati seluruh umat Islam . Terdapat pelbagai berbagai kelebihan dan keistimewaan sepanjang bulan ini.

Pengertian :

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan . Masyarakat Jahiliah menamakan bulan menamakan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang didalamnya . Rasulullah mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab . Bagi kita umat Islam , kita memperingati dan memuliakan Rejab adalah sempena peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah S.A.W I iaitu peristiwa Isra’ Mikraj.

PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

1. HIJRAH KE HABSYAH

Rasulullah dan golongan yang beriman kepada Allah telah menerima ancaman dan tekanan daripada kaum Musyrikin Mekah . Sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai derita yang ditanggung oleh mereka. Justeru itu , Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke Habsyah. Hijrah ini bertujuan untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri serta mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun agenda seterusnya. Seramai 14 orang sahabat yang berhijrah termasuklah Saidina Uthman dan isterinya Ruqiah . Habsyah dipilih kerana rajanya yang bersifat toleransi dan terbuka.


2 ISRA’ MIKRAJ

Isra’ bererti perjalanan nabi muhamad s.a.w. pada waktu malam dari Masjidil Haram di mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis , di Palestin.
Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhamad S.A.W. naik ke langit . Isra’ dan Mikraj bermaksud perjalanan Nabi Muhamad s.a.w. di malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian naik ke langit ke Sidratul Muntaha dengan menembusi planet dunia serta menjelajahi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam itu juga.
Peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke 11 sesudah baginda diangkat menjadi Rasul. Rasululaah s.a.w. berangkat dari Msjidil Haram bersama malaikat Jibrail dengan menaiki Buraq yang sekali melangkah adalah sejauh mata memandang.
Semasa Isra’ mikraj ini . Rasulullah s.a.w. telah dipaparkan berbagai keadaan manusia yang beriman dan manusia yang kufur kepada Allah S.W.T. serta balasan nikmat dan azab yang disediakan Allah kepada Hambanya. Peristiwa Isra’ Mikraj ini hendaklah kita jadikan iktibar dan pengajaran necaya kita akan dapat merasai betapa Allah S.W.T. Maha Perkasa dan Maha Bijaksana di dalam penciptaan alam ini.


3. PERANG TABUK

Tabuk adalah satu tempat yang terletak di utara semenanjung Arab.Rasulullah s.a.w. bersama 30 ribu tentera Islam telah berkumpul untuk menghadapi tentera Rom. Pertempuran tersebut tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri disebabkan berasa gerun dan takut dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam menghadapi musuh-musuh Islam


4. PEMBEBASAN BAITUL – MUQADDIS

Baitul muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam semasa zaman pemerintahan Abbasiah , tentera salib telah melakukan
serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam.
Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam iaitu salehudin Al-Ayubi. Beliau telah Berjaya menawan kembali Baitul muqaddis daripada tentera Salib pada hari Jumaat 27 rejab 583H. Pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi menawan Baitul Muqaddis dan menamakan Negara baru mereka dengan nama Israel .
5. LAHIRNYA IMAM SYAFIE RH
Beliau ialah Muhammad bin Idris . dilahirkan di Ghazzah. Palestin pada tahun 150 H bersamaan 767M . Pengasas mazhab Syafie dan salah seorang daripada empat imam mazhab yang mahir dalam fekah . kitab karangannya yang termasyhur ialah Al-Umm.

Kursus Pengurusan Jenazah